Tuesday, 7 May 2013

Pendekatan Dalam Mengajar Membaca


Pendekatan dalam pengajaran membaca sangat penting. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan untuk memupuk minat pelajar dalam membaca. Pengajaran membaca dijadikan sebagai alat bagi mengukur kemampuan pelajar terhadap bahan bacaan.

Salah satu pendekatan pengajaran membaca adalah pendekatan binaan. Pengajaran bacaan bagi pendekatan ini dimulakan dengan memperkenalkan unsur-unsur yang terlebih dahulu kemudian diikuti dengan suku kata, perkataan, rangkai kata, ayat dan cerita.  Maksudnya, pelajar didedahkan dengan huruf kemudian suku kata dan seterusnya perkataan.Perkataan-perkataan ini mesti dibentuk dalam ayat dengan perkataan-perkataan lain yang telah diketahui oleh murid. Kaedah yang sesuai dengan pendekatan ini ialah kaedah abjad yang sering digunakan dalam pengajaran membaca di sekolah-sekolah rendah.


Selain itu, pendekatan cerakinan juga sesuai digunakan. Pendekatan ini dikenali sebagai pendekatan analisis. Pendekatan ini mendahulukan unsur-unsur yang besar kemudian, unsur-unsur itu dicerakinkan kepada unsur-unsur yang lebih kecil yang membentuk struktur unsur yang besar tersebut. Pendekatan ini merupakan kebalikan daripada pendekatan binaan. Mula-mula, pelajar diperkenalkan dengan ayat kemudian, ayat dipecahkan kepada perkataan-perkataan dan daripada perkataan tersebut dipecahkan kepada suku kata dan huruf-huruf.


Pendekatan seterusnya ialah pendekatan elektik ataupun dikenali sebagai pendekatan campuran. Ia merupakan gabungan dari pendekatan binaan dan pendekatan cerakinan. Maksudnya, pendekatan mengambil ciri-ciri yang terbaik dari kedua-dua pendekatan tersebut kemudian, disesuaikan dengan kebolehan murid, situasi bilik darjah, bahan pengajaran dan sebagainya. Namun begitu, pendekatan ini mesti dijalankan dengan sistematik bagi mejamin keberkesanannya. Pendekatan ini mempertimbangkan sifat-sifat ejaan fonemik Bahasa Melayu, struktur suku kata, tatabahasa, sistem sebutan dan sebagainya agar pengajaran yang dilakukan berkesan ke atas pemahaman pelajar.


Konklusinya, pendekatan pengajaran membaca sangat penting untuk menarik minat pelajar di samping memastikan mereka mempunyai kemahiran membaca yang baik sekaligus dapat mencapai input berguna melalui apa jua bahan bacaan.

Sebelum saya menutup bicara pada ruangan blog ini, saya ingin mengajak para pembaca menghayati kata-kata hikmat ini;

The more you read, the more things you know. The more that you learn, the more places you’ll go.” – Dr Seuss

Wednesday, 1 May 2013

Pemilihan Bahan Bacaan

Menentukan Tahap Kesukaran


Pembaca perlu menentukan tahap kesukaran bahan yang hendak dibaca. Jika pembaca memilih bahan bacaan yang mempunyai tahap kesukaran yang tinggi akan menyebabkan pembaca kurang mendapat pemahaman dari bahan bacaan tersebut. Pembaca juga perlu pastikan bahan bacaan itu hanya mempunyai sedikit kesukaran. Jika terlalu banyak pembaca tidak faham terhadap sesuatu terutamanya istilah dan perlu merujuk kamus akan menyebabkan pembaca letih, keliru dan putus asa untuk meneruskan proses membaca. Hal ini kerana pembaca perlu mengumpulkan semua makna istilah atau kata-kata yang baru diterima untuk difahami dan ia memerlukan masa yang panjang bagi sesetengah pembaca.  Oleh itu, pembaca perlu memulai proses membaca dengan memilih bahan bacaan yang mudah difahami.


Memilih Tajuk Bacaan

Cara seterusnya adalah dengan memilih tajuk bahan bacaan. Pembaca yang bijak akan memilih tajuk bahan bacaan yang biasa dan selesa dengan dirinya. Kebiasaaan pembaca dengan sesuatu tajuk membantu pembaca untuk lebih mudah meneka makna perkataan yang jarang ditemui. Keadaan ini dapat mengurangkan jurang pengetahuan bahasa pembaca. Sebagai contoh, seseorang yang baru hendak berjinak dengan akhbar perlu membaca teks akhbar yang tajuk menarik dan sesuai dengannya. Apabila sudah mempunyai sedikit pengetahuan, barulah beralih kepada tajuk yang lain.


Pemilihan Bahan Bacaan



    Kebanyakan masyarakat zaman sekarang hanya mementingkan bahan bacaan yang bersifat keseronokan apabila membuat pemilihan. Hal ini sedikit sebanyak adalah disebabkan oleh fahaman Hedonisme yang digagaskan oleh Epicurus di mana falsafah hidup bertujuan untuk mencapai suatu keseronokan. Oleh itu, guru-guru mestilah mengambil berat tentang pemilihan bahan bacaan pelajar. Terdapat pelbagai jenis bahan bacaan dalam pendidikan Literasi. Sebagai contoh, bahan teknologi, buku teks dan juga bahan kesusasteraan.

Pemilihan Bahan Teknologi dalam Pendidikan Literasi

Teknologi telah memberi kesan yang sangat besar terhadap masyarakat zaman moden ini terutamanya guru. Hal ini disebabkan guru adalah orang yang selalu menghadapi lapisan masyarakat yang berlainan sama ada pelajar ataupun ibu bapa serta rakan sekerja. Guru literasi haruslah mempunyai pengetahuan yang jelas tentang pemilihan bahan teknologi yang dapat digunakan secara berkesan dalam sesi pengajaran dalam bilik darjah. Guru juga perlu tahu bagaimana untuk menilai secara berterusan bahan teknologi, terutamanya berkaitan perisian yang dapat digunakan untuk membantu pencapaian objektif pembelajaran yang diharapkan. Guru seharusnya membuat pertimbangan apabila bahan teknologi digunakan. Guru perlu bijak mepertimbangkan keberkesanan dengan menentukan sejauhmana output yang diletakkan dalam proses pengajaran berbanding input yang terhasil. Terdapat beberapa pertimbangan yang perlu dititikberatkan oleh guru. Sebagai contoh,

Tentukan Objektif Pembelajaran
Tahap Pencapaian Pelajar
Tentukan Isi Kandungan dan Domain Kemahiran
Tentukan Aspek Teknikal
Tentukan Ciri Fizikal Sesuatu Bahan Teknologi


Pemilihan Bahan dalam Buku Teks Literasi Bahasa Melayu

Bahan yang digunakan dalam buku teks Bahasa Melayu dipilih bagi membantu pelajar menguasai kemahiran berbahasa untuk berinteraksi dengan orang lain, mengakses maklumat dan membuat apresiasi terhadap bahan kesusasteraan. Bahan yang dikemukakan dalam bahagian membaca perlu dipilih bagi meningkatkan kemahiran pelajar memperoleh dan memahami maklumat yang disediakan. Latihan seperti melawat laman web, memperoleh maklumat dari akhbar dan majalah dan merujuk kamus adalah contoh bagaimanakah seseorang pelajar memperoleh maklumat daripada pelbagai sumber.


Bahan Grafik
Bahan grafik banyak memberi kesan terhadap pemahaman pelajar terhadap kandungan buku teks. Hal ini disebabkan ia dapat menterjemahkan maksud sesuatu konsep yang sukar difahami menerusi bahasa bertulis


Pemilihan Bahan Kesusasteraan dalam Pengajaran Literasi Bahasa Melayu



Untuk memilih bahan kesusasteraan, guru perlu mempunyai beberapa panduan umum bagi membuat pemilihan bahan kesusasteraan yang difikirkan sesuai digunakan di dalam kelas. Bahan tersebut mestilah sesuai dengan perkembangan usia pelajar dan sesuai dengan latar belakang pelajar serta bahan yang dipilih itu mestilah dapat menarik pelajar supaya terus membaca. Bahan yang sesuai dengan perkembangan pelajar ialah bahan yang sesuai bagi setiap tahap persekolahan seperti berdasarkan apa yang terkandung dalam buku teks dan bahan-bahan bacaan tambahan yang dicadangkan oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan. Bahan yang dikatakan menarik minat pelajar mestilah berdasarkan persembahan ilustrasi dan kandungan cerita yang menarik terutamanya bahan yang ilustrasi luarnya menarik. Hal ini disebabkan ia akan menimbulkan perasaan ingin tahu seseorang pelajar untuk mengetahui kandungan dalam sesebuah buku. Guru juga boleh melaksanakan pengajaran Bahasa Melayu dengan menggunakan bahan-bahan yang terpilih dalam buku teks. Walaubagaimanapun, guru mestilah ingat bahawa bahan-bahan dalam buku teks sahaja tidak mencukupi bagi memperkayakan pengalaman pelajar dengan pelbagai bahan kesusasteraan.

Sunday, 7 April 2013

Masalah Dalam Membaca


Faktor-faktor Mempengaruhi Kebolehan Membaca:
1. Fizikal
Masalah Visual
  • mengenal huruf serta urutan huruf-huruf
  • lambat dalam pergerakan mata dan tumpuan kepada baris-baris yang tercetak
  • membezakan huruf-huruf seperti ‘b’ dan ‘d’, ‘p’ dan ‘q’.

Masalah Pendengaran
  • mendiskriminasikan bunyi-bunyi huruf yang berlainan
  • membunyikannya menurut irama (rhythm) dan nada (pitch).
  • mendengar dengan jelas


2. Persekitaran
Rumah & Keluarga
  • Peringkat pendidikan ibu bapa
  • Minat ibu bapa dalam tabiat membaca
  • Kestabilan sosial dan emosi dalam keluarga
  • Corak interaksi dan komunikasi


Sekolah & Guru
Persekitaran yang merangsang murid-murid untuk membaca.
  • Guru menyediakan suasana yang mendororong proses dan pengukuhan pembelajaran membaca.
  • Pengalaman di sekolah memberi kesan mempengaruhi pencapaian murid dalam bacaan.
  • Guru merangsang, meningkatkan tahap motivasi, membina efikasi kendiri pelajar
  • Guru menyediakan pelbagai aktiviti serta menggunakan pelbagai pendekatan dan strategi agar tabiat suka membaca menjadi satu kebiasaan.


Cara Mengatasi Masalah dalam pembacaan.
1. Perkara yang diambil perhatian
Antara teknik pengajaran bahasa yang dicadangkan ialah:
  • teknik bercerita                                  
  • teknik menyanyi            
  • teknik latih tubi                                   
  • teknik lakonan            
  • teknik tunjuk cara                               
  • teknik kuiz            
  • teknik bersoal jawab                         
  • teknik main peranan             

Rancangan Pengajaran Secara Kumpulan:
Langkah 1 : Interaksi guru Secara kelas Secara kelas           
Langkah 2 : kerja bertulis Interaksi guru Secara kumpulan kecil            
Langkah 3 : Pengukuhan Kerja bertulis Interaksi guru secara individu

2. Program intervensi
Berpusatkan Guru
  • Guru merancang dan menjalankan tugas secara individu dan murid akan belajar berdasarkan apa yang disampaikan dan diarahkan oleh guru sahaja.

Berpusatkan Murid
  • Murid diberi galakan untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti yang dirancangkan sama ada secara individu, kumpulan kecil ataupun kelas.

Berpusatkan Bahan
  • Bahan-bahan pembelajaran yang diperlukan telah disusun, sesuai dengan perancangan yang dibuat. Murid diberi penerangan yang jelas tentang keperluan aktiviti yang akan dijalankan.



“Setiap masalah yang berlaku, pasti ada jalan penyelesaiannya..Jadikan MINDA untuk berfikir jalan keluar, HATI sebagai proses penapisan masalah dan JIWA untuk menjadikan kita lebih baik”

Wednesday, 3 April 2013

Belajar Membaca


Menurut Marohaini Yusoff (1989), proses membaca boleh dirumuskan sebagai:

1. Perlakuan membaca adalah perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Cuma dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam kemahiran membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran memahami apa yang dibaca.

2. Sesuatu perlakuan membaca mesti dapat menghasilkan pemahaman selain pengecaman dan penyebutan perkataan-perkataan. Maksudnya, untuk menjadi pembaca yang berkesan, seseorang itu tidak perlu dapatmenyebut perkataan dengan betul dan lancar asalkan dia tahu makna perkataan-perkataan yang dibacanya.

3. Semasa membaca, seseorang itu perlu berfikir, merasai, dan membayangkan apa yang dibaca. Seseorang murid itu mempunyai tujuan, jangkaan, pengetahuan, dan pengalaman lalu yang akan mempengaruhi apa yang akan dibacanya. Dalam sesuatu proses bacaan, terdapat susun atur tugasan seperti berikut:
  • mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat.
  • mengaitkan lambang atau perkataan dengan bunyi atau makna.
  • menterjemahkan makna perkataan itu dengan mengaitkannya dengan apa yang sedia ada di minda.
  • mengumpul dan mencantumkan idea, perkataan,dan ayat sehingga menjadi sebuah idea yang lengkap.
  • mencuba menghuraikan idea kepada orang lain.

Menurut pandangan psikolinguistik kognitif, proses membaca merupakan proses dua hala.
1. Dari lambang ke otak merupakan hala pertama
2.  hala kedua adalah dari otak ke lambang tulisan

Hala pertama merupakan kiu atau tanda saran untuk membolehkan otak meramal makna yang ingin disampaikan oleh penulis melalui lambang-lambang bertulis. Pembaca menggunakan tiga sistem kiu secara serentak iaitu kiu grafik, kiu sintaktik dan kiu semantik.  Ini bermakna pembaca dapat mengesan maknanya tanpa membunyikan perkataan satu persatu. Tanda saran, otak dirangsang untuk mengarahkan pengalaman dan pengetahuan dunia bagi merumuskan makna yang sebenarnya.

Melihat kepada susun tugas dalam proses membaca, dapatlah dikatakan bahawa membaca adalah satu proses yang memerlukan pemikiran yang aktif. Berdasarkan definisi membaca dan rumusan yang dibuat berkaitan dengan proses membaca, dapatlah dimengerti bahawa membaca adalah kemahiran yang kompleks yang melibatkan beberapa kemahiran lain.

“Barang siapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke surga” (HR Muslim)

“Carilah ilmu dari buaian sampai liang lahad” (HR Muslim)

Wednesday, 27 March 2013

Teori Membaca


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Buat para pencinta ilmu sekalian...

Meskipun akar ilmu itu pahit tetapi buahnya pasti lazat. Maka, jangan pernah takut dan jemu untuk menuntut ilmu. Marilah kita bersama-sama untuk memperkayakan ilmu di dada. Oleh yang demikian, hari ini saya ingin berkongsi satu ilmu dengan anda semua tentang teori yang digunapakai dalam proses membaca.

Terdapat pelbagai teori yang di kemukan oleh para ilmuan berkaitan dengan proses membaca ini. Berikut di bawah antara teori-teori yang sering di gunakan. 

i) Model Bottom-Up

Tokoh utama teori ini ialah Gough (1972). Model ini menyatakan individu memulakan proses membaca apabila matanya mengenalpasti maklumat visual yang tertera dalam teks yang dibaca secara berterusan. Pemprosesan membaca bergerak secara linear, iaitu dimulakan dengan mengecam huruf, mengekod pada tahap fonem, mengecam perkataan-perkataan dan akhirnya hubungan sintaksis dan semantik. 

Tugas utama pembaca menurut teori ini adalah mengkod lambang-lambang yang tertulis menjadi bunyi-bunyi bahasa (Harjasuna, 1996). Brown (2001) menyatakan bahawa pada proses bottom-up membaca terlebih dahulu mengetahui berbagai tanda linguistik, seperti huruf, morfem, suku kata, frasa, petunjuk gramatik dan tanda wacana, kemudian menggunakan mekanisme pemprosesan terus ke otak.


Antara perincian yang ditekankan di dalam teori ini ialah:

a) memberikan penegasan pada teks bertulis.

b) membaca dipandu oleh proses yang bertujuan mencari maklumat.

c) timbul daripada bahagian pada keseluruhan teks. 


ii) Model Top-Down


Teori ini dikenal sebagai model psikolinguistik dan teori ini telah dikembangkan oleh Goodman (1976) dan Smith (1971). Model ini melihat kegiatan membaca bersifat linear tetapi  bergerak dari atas ke bawah.


Model ini menghuraikan beberapa perkara penting sebagai panduan iaitu:
a) menegaskan perkara atau makna yang pembaca bawa kepada teks yang di baca.
b) menyatakan pembaca membaca teks berpandukan makna teks.
c) timbul daripada aspek keseluruhan teks pada bahagian-bahagian yang akhirnya mewujudkan makna.
d) dikenali sebagai model ‘Dalam Ke Luar’, ‘Berpandukan Konsep' atau 'Keseluruhan ke Bahagian'.

Antara ciri yang berkaitan dengan model membaca ini:

a) membaca tidak hanya mengekodkan bahasa tulisan pada bahasa lisan.

b) membaca tidak melibatkan pemprosesan setiap huruf dan setiap kata.

c) membaca adalah membawa makna dalam teks dan bukannya mengeluarkan makna daripada teks.

Rumusan berkaitan dengan Model ini:

a) menegaskan perkara yang di miliki oleh pembaca seperti pengetahuan terdahulu dan pengetahuan pada teks yang di baca bagi tujuan pemahaman.
b) menyatakan yang kefahaman bermula daripada minda pembaca yang mempunyai beberapa gugusan idea berkaitan dengan teks yang di baca.
c) makna diterbitkan daripada aspek keseluruhan teks pada bahagian-bahagian kecil.

iii) Model Interaktif


Model jenis ini mengandaikan membaca sebagai proses yang aktif bagi membentuk makna melalui interaksi antara pembaca dengan teks. Berbeza dengan model-model lain, model ini melihat proses membaca sebagai pola berbentuk pusingan dengan maklumat tekstual dan aktiviti mental pembaca wujud secara serentak.


Model ini mencadangkan pembaca membina makna dengan cara mempunyai kuasa memilih maklumat daripada semua sumber makna tanpa mematuhi mana-mana set arahan. Semua peringkat membaca di gunakan oleh pembaca.

Model ini menggunalan cetakan sebagai input dan makna sebagai output. Pembaca yang mahir mestilah dapat menggunakan pancaindera, sintaksis, semantik, maklumat pragmatik, bagi menyempurnakan matlamat.


iv) Model Transactional


Teori ini dipelopori oleh  Louise Rosenblatt. Dewey & Bentley (1949) mengatakan bahawa pembelajaran tidak hanya merupakan interaksi  antara dua perkara yang berasingan yang saling bekerjasama tetapi dua benda menjadi satu.


Model ini di katakan sebagai Model Transactional kerana wujudnya transaksi antara pengarang, pembaca dan juga teks. Teori ini menjelaskan bahawa pendirian pembaca akan menentukan pengalaman yang akan diperolehi daripada teks tersebut.  

"Hidup ini bagaikan sebuah titian yang perlu dilalui oleh setiap insan di dunia. Oleh itu, merentaslah di titian yang teguh yang dibina dari kayu-kayu ilmu pengetahuan yang kukuh."

Monday, 25 March 2013

Takrif Membaca


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera....

Hari ini saya terdetik hati untuk memulakan coteran di atas blog ini. Saya berharap agar coretan ini dapat memberikan sedikit sebanyak tambahan ilmu buat anda..anda..anda..dan anda...pencinta ilmu sekalian. Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda semua berkaitan dengan membaca. Mudah bukan? Sesuatu perkara yang kita lakukan di setiap hari. Sesuai dengan tag line blog saya “Membaca Itu Jambatan Ilmu”  dengan itu saya ingin mengajak anda untuk mendalami apa yang dikatakan ilmu membaca. 

~Takrif Membaca

Terdapat banyak takrifan yang berkaitan dengan membaca ini. Antaranya :

i) Harris dan Sipay (1980) 
  • proses memperolehi tafsiran yang bermakna ke atas lambang-lambang bercetak dan bertulis. 


ii) Smith dan Johnson (1980) 
  • membaca adalah berteraskan keinginan untuk mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis dengan tanggapan yang diberikan oleh pembaca. 


ii) Goodman (1973) 
  • proses psikolinguistik yang bermula daripada pembaca mengamat perkataan yang terdapat dalam teks yang di bacanya sehinggalah terbentuknya makna berdasarkan pengamatan yang di lakukan. 


Kesimpulannya, membaca itu proses interaksi antara bahasa dengan pemikiran kerana hubungan antara bahasa dengan pemikiran sememangnya berlaku dalam dimensi yang luas. 

"Membaca itu satu tuntutan. Dalam Al-Quran sendiri telah termaktub. Malah, jika kita ingat kata-kata ustaz ustazah kita bahawasanya wahyu pertama yang dikirim oleh Jibril kepada Nabi Muhammad SAW adalah seruan agar membaca. Dengan itu, membacalah kita kerana membaca itu jambatan ilmu."