Wednesday, 1 May 2013

Pemilihan Bahan Bacaan



    Kebanyakan masyarakat zaman sekarang hanya mementingkan bahan bacaan yang bersifat keseronokan apabila membuat pemilihan. Hal ini sedikit sebanyak adalah disebabkan oleh fahaman Hedonisme yang digagaskan oleh Epicurus di mana falsafah hidup bertujuan untuk mencapai suatu keseronokan. Oleh itu, guru-guru mestilah mengambil berat tentang pemilihan bahan bacaan pelajar. Terdapat pelbagai jenis bahan bacaan dalam pendidikan Literasi. Sebagai contoh, bahan teknologi, buku teks dan juga bahan kesusasteraan.

Pemilihan Bahan Teknologi dalam Pendidikan Literasi

Teknologi telah memberi kesan yang sangat besar terhadap masyarakat zaman moden ini terutamanya guru. Hal ini disebabkan guru adalah orang yang selalu menghadapi lapisan masyarakat yang berlainan sama ada pelajar ataupun ibu bapa serta rakan sekerja. Guru literasi haruslah mempunyai pengetahuan yang jelas tentang pemilihan bahan teknologi yang dapat digunakan secara berkesan dalam sesi pengajaran dalam bilik darjah. Guru juga perlu tahu bagaimana untuk menilai secara berterusan bahan teknologi, terutamanya berkaitan perisian yang dapat digunakan untuk membantu pencapaian objektif pembelajaran yang diharapkan. Guru seharusnya membuat pertimbangan apabila bahan teknologi digunakan. Guru perlu bijak mepertimbangkan keberkesanan dengan menentukan sejauhmana output yang diletakkan dalam proses pengajaran berbanding input yang terhasil. Terdapat beberapa pertimbangan yang perlu dititikberatkan oleh guru. Sebagai contoh,

Tentukan Objektif Pembelajaran
Tahap Pencapaian Pelajar
Tentukan Isi Kandungan dan Domain Kemahiran
Tentukan Aspek Teknikal
Tentukan Ciri Fizikal Sesuatu Bahan Teknologi


Pemilihan Bahan dalam Buku Teks Literasi Bahasa Melayu

Bahan yang digunakan dalam buku teks Bahasa Melayu dipilih bagi membantu pelajar menguasai kemahiran berbahasa untuk berinteraksi dengan orang lain, mengakses maklumat dan membuat apresiasi terhadap bahan kesusasteraan. Bahan yang dikemukakan dalam bahagian membaca perlu dipilih bagi meningkatkan kemahiran pelajar memperoleh dan memahami maklumat yang disediakan. Latihan seperti melawat laman web, memperoleh maklumat dari akhbar dan majalah dan merujuk kamus adalah contoh bagaimanakah seseorang pelajar memperoleh maklumat daripada pelbagai sumber.


Bahan Grafik
Bahan grafik banyak memberi kesan terhadap pemahaman pelajar terhadap kandungan buku teks. Hal ini disebabkan ia dapat menterjemahkan maksud sesuatu konsep yang sukar difahami menerusi bahasa bertulis


Pemilihan Bahan Kesusasteraan dalam Pengajaran Literasi Bahasa Melayu



Untuk memilih bahan kesusasteraan, guru perlu mempunyai beberapa panduan umum bagi membuat pemilihan bahan kesusasteraan yang difikirkan sesuai digunakan di dalam kelas. Bahan tersebut mestilah sesuai dengan perkembangan usia pelajar dan sesuai dengan latar belakang pelajar serta bahan yang dipilih itu mestilah dapat menarik pelajar supaya terus membaca. Bahan yang sesuai dengan perkembangan pelajar ialah bahan yang sesuai bagi setiap tahap persekolahan seperti berdasarkan apa yang terkandung dalam buku teks dan bahan-bahan bacaan tambahan yang dicadangkan oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan. Bahan yang dikatakan menarik minat pelajar mestilah berdasarkan persembahan ilustrasi dan kandungan cerita yang menarik terutamanya bahan yang ilustrasi luarnya menarik. Hal ini disebabkan ia akan menimbulkan perasaan ingin tahu seseorang pelajar untuk mengetahui kandungan dalam sesebuah buku. Guru juga boleh melaksanakan pengajaran Bahasa Melayu dengan menggunakan bahan-bahan yang terpilih dalam buku teks. Walaubagaimanapun, guru mestilah ingat bahawa bahan-bahan dalam buku teks sahaja tidak mencukupi bagi memperkayakan pengalaman pelajar dengan pelbagai bahan kesusasteraan.

No comments:

Post a Comment