Tuesday, 7 May 2013

Pendekatan Dalam Mengajar Membaca


Pendekatan dalam pengajaran membaca sangat penting. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan untuk memupuk minat pelajar dalam membaca. Pengajaran membaca dijadikan sebagai alat bagi mengukur kemampuan pelajar terhadap bahan bacaan.

Salah satu pendekatan pengajaran membaca adalah pendekatan binaan. Pengajaran bacaan bagi pendekatan ini dimulakan dengan memperkenalkan unsur-unsur yang terlebih dahulu kemudian diikuti dengan suku kata, perkataan, rangkai kata, ayat dan cerita.  Maksudnya, pelajar didedahkan dengan huruf kemudian suku kata dan seterusnya perkataan.Perkataan-perkataan ini mesti dibentuk dalam ayat dengan perkataan-perkataan lain yang telah diketahui oleh murid. Kaedah yang sesuai dengan pendekatan ini ialah kaedah abjad yang sering digunakan dalam pengajaran membaca di sekolah-sekolah rendah.


Selain itu, pendekatan cerakinan juga sesuai digunakan. Pendekatan ini dikenali sebagai pendekatan analisis. Pendekatan ini mendahulukan unsur-unsur yang besar kemudian, unsur-unsur itu dicerakinkan kepada unsur-unsur yang lebih kecil yang membentuk struktur unsur yang besar tersebut. Pendekatan ini merupakan kebalikan daripada pendekatan binaan. Mula-mula, pelajar diperkenalkan dengan ayat kemudian, ayat dipecahkan kepada perkataan-perkataan dan daripada perkataan tersebut dipecahkan kepada suku kata dan huruf-huruf.


Pendekatan seterusnya ialah pendekatan elektik ataupun dikenali sebagai pendekatan campuran. Ia merupakan gabungan dari pendekatan binaan dan pendekatan cerakinan. Maksudnya, pendekatan mengambil ciri-ciri yang terbaik dari kedua-dua pendekatan tersebut kemudian, disesuaikan dengan kebolehan murid, situasi bilik darjah, bahan pengajaran dan sebagainya. Namun begitu, pendekatan ini mesti dijalankan dengan sistematik bagi mejamin keberkesanannya. Pendekatan ini mempertimbangkan sifat-sifat ejaan fonemik Bahasa Melayu, struktur suku kata, tatabahasa, sistem sebutan dan sebagainya agar pengajaran yang dilakukan berkesan ke atas pemahaman pelajar.


Konklusinya, pendekatan pengajaran membaca sangat penting untuk menarik minat pelajar di samping memastikan mereka mempunyai kemahiran membaca yang baik sekaligus dapat mencapai input berguna melalui apa jua bahan bacaan.

Sebelum saya menutup bicara pada ruangan blog ini, saya ingin mengajak para pembaca menghayati kata-kata hikmat ini;

The more you read, the more things you know. The more that you learn, the more places you’ll go.” – Dr Seuss

Wednesday, 1 May 2013

Pemilihan Bahan Bacaan

Menentukan Tahap Kesukaran


Pembaca perlu menentukan tahap kesukaran bahan yang hendak dibaca. Jika pembaca memilih bahan bacaan yang mempunyai tahap kesukaran yang tinggi akan menyebabkan pembaca kurang mendapat pemahaman dari bahan bacaan tersebut. Pembaca juga perlu pastikan bahan bacaan itu hanya mempunyai sedikit kesukaran. Jika terlalu banyak pembaca tidak faham terhadap sesuatu terutamanya istilah dan perlu merujuk kamus akan menyebabkan pembaca letih, keliru dan putus asa untuk meneruskan proses membaca. Hal ini kerana pembaca perlu mengumpulkan semua makna istilah atau kata-kata yang baru diterima untuk difahami dan ia memerlukan masa yang panjang bagi sesetengah pembaca.  Oleh itu, pembaca perlu memulai proses membaca dengan memilih bahan bacaan yang mudah difahami.


Memilih Tajuk Bacaan

Cara seterusnya adalah dengan memilih tajuk bahan bacaan. Pembaca yang bijak akan memilih tajuk bahan bacaan yang biasa dan selesa dengan dirinya. Kebiasaaan pembaca dengan sesuatu tajuk membantu pembaca untuk lebih mudah meneka makna perkataan yang jarang ditemui. Keadaan ini dapat mengurangkan jurang pengetahuan bahasa pembaca. Sebagai contoh, seseorang yang baru hendak berjinak dengan akhbar perlu membaca teks akhbar yang tajuk menarik dan sesuai dengannya. Apabila sudah mempunyai sedikit pengetahuan, barulah beralih kepada tajuk yang lain.


Pemilihan Bahan Bacaan



    Kebanyakan masyarakat zaman sekarang hanya mementingkan bahan bacaan yang bersifat keseronokan apabila membuat pemilihan. Hal ini sedikit sebanyak adalah disebabkan oleh fahaman Hedonisme yang digagaskan oleh Epicurus di mana falsafah hidup bertujuan untuk mencapai suatu keseronokan. Oleh itu, guru-guru mestilah mengambil berat tentang pemilihan bahan bacaan pelajar. Terdapat pelbagai jenis bahan bacaan dalam pendidikan Literasi. Sebagai contoh, bahan teknologi, buku teks dan juga bahan kesusasteraan.

Pemilihan Bahan Teknologi dalam Pendidikan Literasi

Teknologi telah memberi kesan yang sangat besar terhadap masyarakat zaman moden ini terutamanya guru. Hal ini disebabkan guru adalah orang yang selalu menghadapi lapisan masyarakat yang berlainan sama ada pelajar ataupun ibu bapa serta rakan sekerja. Guru literasi haruslah mempunyai pengetahuan yang jelas tentang pemilihan bahan teknologi yang dapat digunakan secara berkesan dalam sesi pengajaran dalam bilik darjah. Guru juga perlu tahu bagaimana untuk menilai secara berterusan bahan teknologi, terutamanya berkaitan perisian yang dapat digunakan untuk membantu pencapaian objektif pembelajaran yang diharapkan. Guru seharusnya membuat pertimbangan apabila bahan teknologi digunakan. Guru perlu bijak mepertimbangkan keberkesanan dengan menentukan sejauhmana output yang diletakkan dalam proses pengajaran berbanding input yang terhasil. Terdapat beberapa pertimbangan yang perlu dititikberatkan oleh guru. Sebagai contoh,

Tentukan Objektif Pembelajaran
Tahap Pencapaian Pelajar
Tentukan Isi Kandungan dan Domain Kemahiran
Tentukan Aspek Teknikal
Tentukan Ciri Fizikal Sesuatu Bahan Teknologi


Pemilihan Bahan dalam Buku Teks Literasi Bahasa Melayu

Bahan yang digunakan dalam buku teks Bahasa Melayu dipilih bagi membantu pelajar menguasai kemahiran berbahasa untuk berinteraksi dengan orang lain, mengakses maklumat dan membuat apresiasi terhadap bahan kesusasteraan. Bahan yang dikemukakan dalam bahagian membaca perlu dipilih bagi meningkatkan kemahiran pelajar memperoleh dan memahami maklumat yang disediakan. Latihan seperti melawat laman web, memperoleh maklumat dari akhbar dan majalah dan merujuk kamus adalah contoh bagaimanakah seseorang pelajar memperoleh maklumat daripada pelbagai sumber.


Bahan Grafik
Bahan grafik banyak memberi kesan terhadap pemahaman pelajar terhadap kandungan buku teks. Hal ini disebabkan ia dapat menterjemahkan maksud sesuatu konsep yang sukar difahami menerusi bahasa bertulis


Pemilihan Bahan Kesusasteraan dalam Pengajaran Literasi Bahasa Melayu



Untuk memilih bahan kesusasteraan, guru perlu mempunyai beberapa panduan umum bagi membuat pemilihan bahan kesusasteraan yang difikirkan sesuai digunakan di dalam kelas. Bahan tersebut mestilah sesuai dengan perkembangan usia pelajar dan sesuai dengan latar belakang pelajar serta bahan yang dipilih itu mestilah dapat menarik pelajar supaya terus membaca. Bahan yang sesuai dengan perkembangan pelajar ialah bahan yang sesuai bagi setiap tahap persekolahan seperti berdasarkan apa yang terkandung dalam buku teks dan bahan-bahan bacaan tambahan yang dicadangkan oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan. Bahan yang dikatakan menarik minat pelajar mestilah berdasarkan persembahan ilustrasi dan kandungan cerita yang menarik terutamanya bahan yang ilustrasi luarnya menarik. Hal ini disebabkan ia akan menimbulkan perasaan ingin tahu seseorang pelajar untuk mengetahui kandungan dalam sesebuah buku. Guru juga boleh melaksanakan pengajaran Bahasa Melayu dengan menggunakan bahan-bahan yang terpilih dalam buku teks. Walaubagaimanapun, guru mestilah ingat bahawa bahan-bahan dalam buku teks sahaja tidak mencukupi bagi memperkayakan pengalaman pelajar dengan pelbagai bahan kesusasteraan.